Isnin, 19 Julai 2010

Program Kembara Buku Digerakkan

Pejabat Pelajaran Daerah Maran mengharapkan Program Kembara Buku di sekolah-sekolah dapat dilaksanakan seperti sebelumnya. Program Kembara buku merupakan program rintis bagi menggalakkan budaya membaca di kalangan pelajar, guru , ibu bapa dan komuniti masyarakat. Program ini digemblengkan ideanya oleh Timbalan Pengarah Pahang, En Yahya bin Zainal Abidin yang juga Mantan PPD Maran bermula 2008 lagi.
      Penerapan budaya membaca ini juga amat berkesan untuk dibentuk kepada golongan pelajar terutama jika peperiksaan dimansuhkan. Ia menjadi nadi utama dalam membentuk ilmu dan pemikiran pelajar yang kreatif, inovatif dan matang. Kita mengharapkan program ini sampai kepada para pelajar dan ibu bapa di mana kecemerlangan sesebuah bangsa atau negara bergantung kepada pemikiran masyarakatnya yang membaca.
     En Yahya bin Zainal Abidin sendiri menceritakan tentang beberapa isu perlunya penyemaian budaya membaca untuk berjaya. Antaranya ialah:
  1. Pelajar Melayu di Universiti sekarang lemah dari segi pemikiran ilmiah dan penyelidikan. Ini menyebabkan mereka jauh ketinggalan. Kebanyakkannya hanya pandai mencedok idea dan ilmu orang lain, tetapi kurang minat membaca.
  2. Sejarah Korea. Bagaimana Presiden Korea menanamkan budaya membaca di kalangan rakyatnya hingga mereka mampu bangkit menjadi kuasa ekonomi dan berdaya maju.
  3. Sejarah Amerika. Bagaimana Presiden Wilson mengubah daripada peperangan kepada budaya, menulis, membaca dan mencipta, menyebabkan ramai cendikiawan Eropah berhijrah ke Amerika dan seterusnya menjadi Amerika sebuah negara mencipta, dan maju hingga kini.
    Untuk menghidupkan budaya membaca ini, semua pihak termasuk guru dan ibu bapa berperanan dan bersama membaca. Pelajar juga harus sentiasa diberi galakkan. Penggunaan Pusat Sumber dan Perpustakaan sekolah harus dipertingkatkan.
     Program internet, Zoom-A harus digunakan sebaik mungkin memandangkan ia telah diberikan kepada semua sekolah. Selain buku, Zoom-A membantu guru, ibu bapa dan pelajar untuk menambahkan pembacaan melalui Galeri A (ruang cerita). Pejabat Pelajaran Daerah Maran mengharapkan semua sekolah dapat menggunakan Zoom-A ini sebagai salah satu kaedah pembacaan dalam Kembara/Bicara buku. Selain itu juga, Program Nilam (PERPUSPEN) perlu digerakkan bersama.
    Pelancaran Program Kembara Buku Peringkat Daerah Maran 2010 akan diadakan di SK Bukit Tajau pada 30 Julai 2010. Semua sekolah daerah Maran terlibat dan dimaklumkan juga ia menjadi perintis di Negeri Pahang. Sekolah-sekolah terpilih dari seluruh daerah di negeri Pahang akan turut serta. Program tersebut akan melibatkan semua komuniti sekolah termasuk PIBG dan mengikut cadangan akan diadakan pada waktu malam.

Welcome

Makluman

Terima Kasih kerana bersama kami