Khamis, 6 September 2012

MEMPERKASA PPD PAHANG :

MEMPERKASA PPD PAHANG : PROGRAM BELAJAR DARI ORANG CEMERLANG MELALUI LAWATAN KE SEKOLAH TEPIAN SUNGAI PAHANG DI DAERAH MARAN Saban tahun, terdapat pelbagai program pendidikan yang dilakukan oleh Jabatan Pelajaran Pahang dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah bagi memastikan anak-anak didikan di sekolah Pahang mencapai keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang cemerlang. Oleh yang demikian, Pengarah Pelajaran Pahang, Yang Berbahagia En Yahya bin Zainal Abidin berhasrat untuk mengadakan satu program di mana semua Pegawai Pelajaran Daerah seluruh Pahang turun ke sekolah untuk meninjau sendiri bagaimana sekolah-sekolah yang cemerlang menjalankan aktiviti atau program bagi kecemerlangan sekolah mereka. Yang istimewanya di sini, program tersebut ditumpukankan kepada sekolah-sekolah tepian Sungai Pahang. Berdasarkan beberapa faktor yang kukuh, sekolah-sekolah tepian sungai Pahang di daerah Maran telah dipilih sekaligus PDD Maran bertanggungjawab bersama Jabatan Pelajaran Pahang menjayakan hasrat Tuan Pengarah. Terdapat lebih kurang 10 buah sekolah tepian Sungai Pahang di sekitar daerah Maran. Keputusan UPSR yang dicapai oleh sekolah-sekolah tepian sungai ini pada setiap tahun amat membanggakan malah meningkat setiap tahun. Ini dapat dibuktikan dengan sebahagian besar daripada sekolah-sekolah tersebut adalah penerima Bayaran Insentif Tawaran Baru (BITB), 4 buah sekolah daripada 10 buah sekolah telah mencapai peningkatan Band dari tahun 2010 ke tahun 2011 dan sebuah sekolah telah dicalonkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Tajuk bagi program ini ialah “Memperkasakan PPD Pahang : PPD Pahang Turun Padang ke Sekolah Tepian Sungai Pahang di Daerah Maran” dan tarikh 18-19 Julai 2012 telah dipilih untuk menjayakan program ini. Objektif di sebalik program ini adalah bagi melihat keberkesanan sekolah-sekolah tepian Sungai Pahang melaksanakan aktiviti/ program bagi kecemerlangan murid-murid sekolah mereka. Untuk menjadi cemerlang, perlu belajar dari yang cemerlang. Oleh itu program sebegini dapat dijadikan contoh dan panduan kepada sekolah-sekolah daerah lain melalui pemantauan yang dilakukan Pegawai Pelajaran Daerah masing-masing terhadap sekolah-sekolah tepian Sungai Pahang di Daerah Maran. Hari Pertama (18 Julai 2012) Pihak Pejabat Pelajaran Daerah Maran (PPD Maran) mengalu-alukan kedatangan tetamu-tetamu iaitu, Yang Berbahagia Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Pahang, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Pahang, Ketua-ketua sektor , pegawai-pegawai Jabatan Pelajaran Pahang dan semua Pegawai Pelajaran Daerah seluruh Pahang ke daerah Maran. Program ini dimulakan dengan pengisian ringkas Taklimat Program Bersama Pengarah dan Jamuan Makan Malam. Hari Kedua (19 Julai 2012) Program “Memperkasakan Sekolah Rendah Pahang, PPD turun Padang” dimulakan seawal jam 7.00 pagi di mana semua yang terlibat berkumpul di PPD Maran terlebih dahulu sebelum dibawa oleh pegawai PPD Maran ke 3 buah sekolah bagi Program Bacaan Pagi iaitu melibatkan SK Seri Keramat, SK Bukit Tajau dan SK Sentosa. Di sekolah berkenaan, para peserta dapat melihat budaya membaca yang dididik dan dipupuk kepada anak-anak sekolah rendah. Melalui aktiviti sihat sebegini dapat mengurangkan peratusan buta huruf dalam kalangan pelajar luar bandar. Aktiviti ini dijalankan secara berkelompok di mana murid-murid akan dikumpulkan di beberapa sudut di sekolah. Lazimnya guru akan membuka peluang kepada murid-murid untuk membaca secara suka rela sekaligus ini dapat melahirkan generasi yang berani dan mampu untuk berdepan di khalayak ramai. Aktiviti secara berkumpulan ini dapat merapatkan hubungan sesama rakan di kalangan murid-murid selain mewujudkan sifat-sifat murni seperti saling tolong-menolong dan pemurah. Murid yang lancar membaca membantu rakan sebaya mereka yang kurang lancar membaca, tidak kedekut ilmu dan saling berkongsi sesama mereka. Program diteruskan dengan bersarapan pagi di SK Paya Pasir. Mengapa SK Paya Pasir dipilih sebagai tempat untuk sarapan dan bukan di kantin salah sebuah 3 sekolah yang dilawati bagi Program Bacaan Pagi mahupun restoran di sekitar Bandar Maran? Kami biarkan ia menjadi persoalan kepada tetamu kami. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 15-20 minit untuk sampai ke SK Paya Pasir dari Bandar Maran. Segala persoalan terjawab setelah mereka sampai ke SK Paya Pasir. Mereka dijamu di kantin sekolah tersebut. Rata-rata para Pegawai Pelajaran Daerah tersenyum melihat suasana dan susun atur tempat makan mereka. Ini kerana mereka kagum dengan kecantikan hiasan kantin SK Paya Pasir. Kantin SK Paya Pasir merupakan kantin yang tercantik dan bersih dalam kalangan kantin Sekolah Rendah daerah Maran. Guru Besar SK Paya Pasir, En Ishak bin Ismail amat menitik beratkan kebersihan dan keceriaan kantin sekolah beliau. Beliau berpendapat bahawa murid yang cerdas bermula daripada pemakanan yang sihat dan ruang makan yang bersih dan ceria. Perut sudah diisi, hati pun senang. Setelah selesai sarapan pagi, program diteruskan lagi dengan sesi pencerapan P&P dan Pembentangan Prestasi Kecemerlangan Sekolah di sekolah-sekolah yang terpilih. Pegawai-Pegawai Pelajaran Daerah dibahagikan kepada 3 kumpulan yang berbeza. Setiap kumpulan mempunyai ahli 4-3 orang ahli. Mereka ditempatkan kepada 3 buah sekolah yang telah ditetapkan. Pasukan PPD A memantau ke SK Chenor. Pasukan PPD B pula memantau ke SK Sekara manakala Pasukan PPD C memantau ke SK Pesagi.Sepanjang perjalanan, para peserta dihidangkan dengan pemandangan perkampungan tradisional di pinggiran Sungai Pahang. Malah para peserta begitu teruja melihat nelayan sungai menjual ikan-ikan sungai di Pekan Sehari Chenor sewaktu perjalanan ke sekolah yang terlibat. Aktiviti pemantauan bermula pada jam 10.00 pagi. Dari satu kelas ke satu kelas dibawa untuk sesi pemantauan. Segala kemudahan yang ada di sekolah berkenaan adalah serupa dan lengkap seperti di kebanyakkan sekolah. Pemantauan P&P ke kelas-kelas dilaksanakan bagi melihat keberkesanan pengajaran dan pengajaran guru. Pemantauan sesi Pencerapan P&P dilakukan bertujuan untuk Pegawai –pegawai Pelajaran Daerah meninjau sendiri bagaimana cara guru-guru sekolah-sekolah cemerlang ini mendidik murid-murid mereka sehingga mampu mencapai keputusan yang cemerlang. Cara didikan guru-guru ini boleh dipraktiskan ke sekolah-sekolah di daerah masing-masing agar dapat sama-sama melahirkan murid yang cemerlang negeri Pahang. Selepas memantau, mereka mendengar pula sesi pembentangan Prestasi Kecemerlangan Sekolah daripada sekolah-sekolah yang cemerlang. SK Kuala Wau dan SK Chenor membuat pembentangan di hadapan Pasukan PPD A, manakala SK Serengkam dan SK Sekara membentangkan di hadapan Pasukan PPD B . Pasukan PPD C pula mendengar pembentangan dari sekolah SK Pesagi dan SK Kertau. Sesi pembentangan dan perbincangan ini mampu memberi suntikan semangat baru kepada semua peserta, malah ianya mampu menjadi perkongsian pintar dalam membangunkan kecemerlangan sekolah. Pengalaman dan kecemerlangan sekolah-sekolah ini seharusnya boleh dikongsi dan dicontohi terutama bagi sekolah di kawasan pendalaman atau pinggiran sungai di daerah lain. Ada kalangan sekolah ini yang telah dikesan dan mampu dicalonkan ke Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) kerana mendapat New Deals, beberapa tahun berturut-turut. Malah kekuatan Daerah Maran antara yang mampu ditonjolkan iaitu melalui peranan cemerlang Majlis Guru Besar (MGB) peringkat Kelompok dan Daerah. Jika semua daerah di Pahang ini dapat meyumbangkan pelajar yang cemerlang sudah pasti Pahang akan menjadi No 1 seluruh Malaysia sekaligus akan tercapai hasrat Tuan Pengarah yang becita-cita tinggi melihat Pahang menjadi sebutan di kalangan negeri-negeri lain. Lebih kurang jam 12.30 tengah hari, kesemua Pasukan PPD bergerak balik ke PPD Maran untuk menikmati hidangan tengah hari. Bagi melengkapkan kesudahan program ini, sesi pelaporan dibuat dan dilaporkan oleh setiap wakil kumpulan Pegawai Pelajaran Daerah. Sesi pelaporan ini dibentangkan di hadapan semua 10 orang Guru Besar sekolah-sekolah tepian sungai Pahang daerah Maran bagi mengetahui kelebihan dan kekurangan hasil dapat pemantauan yang dilakukan. Tidak lengkap jika program ini tidak disudahi dengan Majlis Penutupan. Sebagai menghargai tetamu-tetamu kami, sedikit cenderahati diberikan kepada mereka sebagai tanda ingatan. Akhir sekali, sebagai tanda kenangan, sebelum berakhir kesemua yang terlibat berkumpul di hadapan bangunan PPD Maran untuk sesi bergambar sebelum pulang ke daerah masing-masing. Sesungguhnya daerah Maran amat beruntung kerana mempunyai Guru Besar, GPK dan guru-guru yang berdedikasi dalam menjalankan tugas mereka. Mereka sama sekali tidak lokek untuk berkongsi pengalaman, kepakaran, dan idea untuk memastikan murid mereka cemerlang dalam pelajaran. Usaha dan doa yang berterusan dilakukan setiap tahun bagi melihat Maran sentiasa cemerlang. Bertepatanlah dengan visi kami iaitu “Maran Berprestasi Tinggi 2015”. Insyaallah.. Maran sentiasa No. 1 !!! Orang yang hebat belajar dari sejarah, Orang yang lebih hebat mencipta sejarah, Orang yang cemerlang belajar dari yang cemerlang, Orang yang lebih cemerlang mencipta kecemerlangan.

Welcome

Makluman

Terima Kasih kerana bersama kami