Jumaat, 7 April 2017

Lawatan MGB Maran ke Sabah









Blog PPD Maran berfungsi kembali.

Alhamdulillah, laman blog ini berfungsi kembali setelah hampir 5 tahun tiada catatan atau laporan. Semoga kewujudan laman blog PPD Maran ini akan membantu penyebaran maklumat berkaitan pendidikan daerah Maran setelah laman web PPD Maran iaitu ppdmaran.moe.gov.my dan ppdmaran.edu.my tidak berfungsi lagi atas faktor teknikal.
     Laman blog ini juga akan menggantikan laman Gerbang Kualiti (https://gerbangkualiti.blogspot.com) yang kini adalah laman personel En Mohd Jasmi bin Jaafar. Namun, blog Gerbang Kualiti masih boleh diikuti dan digunakan bagi membantu dalam aspek pengurusan dan prosedur.
    Laman blog PPD Maran kini akan dilaporkan oleh para pegawai yang ada, dan diharapkan dapat digunakan dan dibangunkan bagi memberi maklumat terkini.

Khamis, 6 September 2012

MEMPERKASA PPD PAHANG :

MEMPERKASA PPD PAHANG : PROGRAM BELAJAR DARI ORANG CEMERLANG MELALUI LAWATAN KE SEKOLAH TEPIAN SUNGAI PAHANG DI DAERAH MARAN Saban tahun, terdapat pelbagai program pendidikan yang dilakukan oleh Jabatan Pelajaran Pahang dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah bagi memastikan anak-anak didikan di sekolah Pahang mencapai keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang cemerlang. Oleh yang demikian, Pengarah Pelajaran Pahang, Yang Berbahagia En Yahya bin Zainal Abidin berhasrat untuk mengadakan satu program di mana semua Pegawai Pelajaran Daerah seluruh Pahang turun ke sekolah untuk meninjau sendiri bagaimana sekolah-sekolah yang cemerlang menjalankan aktiviti atau program bagi kecemerlangan sekolah mereka. Yang istimewanya di sini, program tersebut ditumpukankan kepada sekolah-sekolah tepian Sungai Pahang. Berdasarkan beberapa faktor yang kukuh, sekolah-sekolah tepian sungai Pahang di daerah Maran telah dipilih sekaligus PDD Maran bertanggungjawab bersama Jabatan Pelajaran Pahang menjayakan hasrat Tuan Pengarah. Terdapat lebih kurang 10 buah sekolah tepian Sungai Pahang di sekitar daerah Maran. Keputusan UPSR yang dicapai oleh sekolah-sekolah tepian sungai ini pada setiap tahun amat membanggakan malah meningkat setiap tahun. Ini dapat dibuktikan dengan sebahagian besar daripada sekolah-sekolah tersebut adalah penerima Bayaran Insentif Tawaran Baru (BITB), 4 buah sekolah daripada 10 buah sekolah telah mencapai peningkatan Band dari tahun 2010 ke tahun 2011 dan sebuah sekolah telah dicalonkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Tajuk bagi program ini ialah “Memperkasakan PPD Pahang : PPD Pahang Turun Padang ke Sekolah Tepian Sungai Pahang di Daerah Maran” dan tarikh 18-19 Julai 2012 telah dipilih untuk menjayakan program ini. Objektif di sebalik program ini adalah bagi melihat keberkesanan sekolah-sekolah tepian Sungai Pahang melaksanakan aktiviti/ program bagi kecemerlangan murid-murid sekolah mereka. Untuk menjadi cemerlang, perlu belajar dari yang cemerlang. Oleh itu program sebegini dapat dijadikan contoh dan panduan kepada sekolah-sekolah daerah lain melalui pemantauan yang dilakukan Pegawai Pelajaran Daerah masing-masing terhadap sekolah-sekolah tepian Sungai Pahang di Daerah Maran. Hari Pertama (18 Julai 2012) Pihak Pejabat Pelajaran Daerah Maran (PPD Maran) mengalu-alukan kedatangan tetamu-tetamu iaitu, Yang Berbahagia Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Pahang, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Pahang, Ketua-ketua sektor , pegawai-pegawai Jabatan Pelajaran Pahang dan semua Pegawai Pelajaran Daerah seluruh Pahang ke daerah Maran. Program ini dimulakan dengan pengisian ringkas Taklimat Program Bersama Pengarah dan Jamuan Makan Malam. Hari Kedua (19 Julai 2012) Program “Memperkasakan Sekolah Rendah Pahang, PPD turun Padang” dimulakan seawal jam 7.00 pagi di mana semua yang terlibat berkumpul di PPD Maran terlebih dahulu sebelum dibawa oleh pegawai PPD Maran ke 3 buah sekolah bagi Program Bacaan Pagi iaitu melibatkan SK Seri Keramat, SK Bukit Tajau dan SK Sentosa. Di sekolah berkenaan, para peserta dapat melihat budaya membaca yang dididik dan dipupuk kepada anak-anak sekolah rendah. Melalui aktiviti sihat sebegini dapat mengurangkan peratusan buta huruf dalam kalangan pelajar luar bandar. Aktiviti ini dijalankan secara berkelompok di mana murid-murid akan dikumpulkan di beberapa sudut di sekolah. Lazimnya guru akan membuka peluang kepada murid-murid untuk membaca secara suka rela sekaligus ini dapat melahirkan generasi yang berani dan mampu untuk berdepan di khalayak ramai. Aktiviti secara berkumpulan ini dapat merapatkan hubungan sesama rakan di kalangan murid-murid selain mewujudkan sifat-sifat murni seperti saling tolong-menolong dan pemurah. Murid yang lancar membaca membantu rakan sebaya mereka yang kurang lancar membaca, tidak kedekut ilmu dan saling berkongsi sesama mereka. Program diteruskan dengan bersarapan pagi di SK Paya Pasir. Mengapa SK Paya Pasir dipilih sebagai tempat untuk sarapan dan bukan di kantin salah sebuah 3 sekolah yang dilawati bagi Program Bacaan Pagi mahupun restoran di sekitar Bandar Maran? Kami biarkan ia menjadi persoalan kepada tetamu kami. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 15-20 minit untuk sampai ke SK Paya Pasir dari Bandar Maran. Segala persoalan terjawab setelah mereka sampai ke SK Paya Pasir. Mereka dijamu di kantin sekolah tersebut. Rata-rata para Pegawai Pelajaran Daerah tersenyum melihat suasana dan susun atur tempat makan mereka. Ini kerana mereka kagum dengan kecantikan hiasan kantin SK Paya Pasir. Kantin SK Paya Pasir merupakan kantin yang tercantik dan bersih dalam kalangan kantin Sekolah Rendah daerah Maran. Guru Besar SK Paya Pasir, En Ishak bin Ismail amat menitik beratkan kebersihan dan keceriaan kantin sekolah beliau. Beliau berpendapat bahawa murid yang cerdas bermula daripada pemakanan yang sihat dan ruang makan yang bersih dan ceria. Perut sudah diisi, hati pun senang. Setelah selesai sarapan pagi, program diteruskan lagi dengan sesi pencerapan P&P dan Pembentangan Prestasi Kecemerlangan Sekolah di sekolah-sekolah yang terpilih. Pegawai-Pegawai Pelajaran Daerah dibahagikan kepada 3 kumpulan yang berbeza. Setiap kumpulan mempunyai ahli 4-3 orang ahli. Mereka ditempatkan kepada 3 buah sekolah yang telah ditetapkan. Pasukan PPD A memantau ke SK Chenor. Pasukan PPD B pula memantau ke SK Sekara manakala Pasukan PPD C memantau ke SK Pesagi.Sepanjang perjalanan, para peserta dihidangkan dengan pemandangan perkampungan tradisional di pinggiran Sungai Pahang. Malah para peserta begitu teruja melihat nelayan sungai menjual ikan-ikan sungai di Pekan Sehari Chenor sewaktu perjalanan ke sekolah yang terlibat. Aktiviti pemantauan bermula pada jam 10.00 pagi. Dari satu kelas ke satu kelas dibawa untuk sesi pemantauan. Segala kemudahan yang ada di sekolah berkenaan adalah serupa dan lengkap seperti di kebanyakkan sekolah. Pemantauan P&P ke kelas-kelas dilaksanakan bagi melihat keberkesanan pengajaran dan pengajaran guru. Pemantauan sesi Pencerapan P&P dilakukan bertujuan untuk Pegawai –pegawai Pelajaran Daerah meninjau sendiri bagaimana cara guru-guru sekolah-sekolah cemerlang ini mendidik murid-murid mereka sehingga mampu mencapai keputusan yang cemerlang. Cara didikan guru-guru ini boleh dipraktiskan ke sekolah-sekolah di daerah masing-masing agar dapat sama-sama melahirkan murid yang cemerlang negeri Pahang. Selepas memantau, mereka mendengar pula sesi pembentangan Prestasi Kecemerlangan Sekolah daripada sekolah-sekolah yang cemerlang. SK Kuala Wau dan SK Chenor membuat pembentangan di hadapan Pasukan PPD A, manakala SK Serengkam dan SK Sekara membentangkan di hadapan Pasukan PPD B . Pasukan PPD C pula mendengar pembentangan dari sekolah SK Pesagi dan SK Kertau. Sesi pembentangan dan perbincangan ini mampu memberi suntikan semangat baru kepada semua peserta, malah ianya mampu menjadi perkongsian pintar dalam membangunkan kecemerlangan sekolah. Pengalaman dan kecemerlangan sekolah-sekolah ini seharusnya boleh dikongsi dan dicontohi terutama bagi sekolah di kawasan pendalaman atau pinggiran sungai di daerah lain. Ada kalangan sekolah ini yang telah dikesan dan mampu dicalonkan ke Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) kerana mendapat New Deals, beberapa tahun berturut-turut. Malah kekuatan Daerah Maran antara yang mampu ditonjolkan iaitu melalui peranan cemerlang Majlis Guru Besar (MGB) peringkat Kelompok dan Daerah. Jika semua daerah di Pahang ini dapat meyumbangkan pelajar yang cemerlang sudah pasti Pahang akan menjadi No 1 seluruh Malaysia sekaligus akan tercapai hasrat Tuan Pengarah yang becita-cita tinggi melihat Pahang menjadi sebutan di kalangan negeri-negeri lain. Lebih kurang jam 12.30 tengah hari, kesemua Pasukan PPD bergerak balik ke PPD Maran untuk menikmati hidangan tengah hari. Bagi melengkapkan kesudahan program ini, sesi pelaporan dibuat dan dilaporkan oleh setiap wakil kumpulan Pegawai Pelajaran Daerah. Sesi pelaporan ini dibentangkan di hadapan semua 10 orang Guru Besar sekolah-sekolah tepian sungai Pahang daerah Maran bagi mengetahui kelebihan dan kekurangan hasil dapat pemantauan yang dilakukan. Tidak lengkap jika program ini tidak disudahi dengan Majlis Penutupan. Sebagai menghargai tetamu-tetamu kami, sedikit cenderahati diberikan kepada mereka sebagai tanda ingatan. Akhir sekali, sebagai tanda kenangan, sebelum berakhir kesemua yang terlibat berkumpul di hadapan bangunan PPD Maran untuk sesi bergambar sebelum pulang ke daerah masing-masing. Sesungguhnya daerah Maran amat beruntung kerana mempunyai Guru Besar, GPK dan guru-guru yang berdedikasi dalam menjalankan tugas mereka. Mereka sama sekali tidak lokek untuk berkongsi pengalaman, kepakaran, dan idea untuk memastikan murid mereka cemerlang dalam pelajaran. Usaha dan doa yang berterusan dilakukan setiap tahun bagi melihat Maran sentiasa cemerlang. Bertepatanlah dengan visi kami iaitu “Maran Berprestasi Tinggi 2015”. Insyaallah.. Maran sentiasa No. 1 !!! Orang yang hebat belajar dari sejarah, Orang yang lebih hebat mencipta sejarah, Orang yang cemerlang belajar dari yang cemerlang, Orang yang lebih cemerlang mencipta kecemerlangan.

Selasa, 11 Oktober 2011

PERINGATAN PENGISIAN DATA ePERLU

Perhatian kepada semua Pengetua dan Guru Besar sekolah-sekolah Daerah Maran. Tuan adalah diminta melengkapkan data keperluan sekolah sebelum tarikh tutup 14 Oktober 2011. Sehingga catatan ini di tulis sejumlah 20 buah sekolah telah berjaya melengkapkan data ini, Tahniah. Keperihatinan tuan amat dihargai. Terima Kasih

Sabtu, 8 Oktober 2011

Selamat Bersara Tuan Haji Zainul Abidin, Mantan Timbalan PPD Maran

Bersara selepas 38 tahun berkhidmat cemerlang



MARAN 3 Okt. - Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Maran, Zainul Abidin Daud bersara wajib mulai hari ini selepas 38 tahun menabur bakti dalam bidang perguruan. Ketika ditemui pada majlis persaraannya itu, Zainul Abidin, 58, mengingatkan para guru agar sentiasa menjaga rahsia jabatan di samping patuh kepada arahan ketua.
     Pada masa yang sama, anak kelahiran Kampung Tekek, Pulau Tioman itu turut berpesan kepada warga pendidik supaya menjaga personaliti serta setia kepada kerajaan yang terbukti membawa transformasi pendidikan terbaik kepada rakyat.
     ''Berbanding dahulu, sistem pendidikan negara kini setanding dengan negara maju kerana banyak kemudahan disediakan kerajaan untuk rakyat bagi meningkatkan kualiti hidup.
     ''Justeru, golongan muda perlu bersyukur dengan segala nikmat yang diperoleh hari ini berbanding generasi terdahulu yang terpaksa menempuh segala kesukaran bagi menimba ilmu," katanya pada majlis persaraannya di Pejabat Pelajaran Daerah Maran di sini.
     Kerjaya Zainul Abidin dalam bidang perguruan bermula sebagai guru sementara di Sekolah Kebangsaan Jengka 1, Maran pada tahun 1973. Beliau kemudiannya berkhidmat di beberapa sekolah termasuk di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 10 serta SMK Kampung Awah sebelum menjadi Pengetua SMK Sungai Retang dan SMK Jengka 18. Zainul Abidin yang dikenali dengan sifat peramah di kalangan guru di daerah ini menjadi Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Maran selama kira-kira tiga tahun.
Sebagai guru, beliau aktif dalam bidang sukan, khususnya sepak takraw serta aktiviti kemasyarakatan.

Petikan daripada Utusan Malaysia Online  http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_05.htm


Jumaat, 12 Ogos 2011

Bengkel/Latihan Sistem Maklumat Prasekolah


Bengkel/Latihan Sistem Maklumat Prasekolah

Bengkel ini tela diadakan pada 29.07.2011 bertempat di Bilik Studio SMK Seri Jengka. Bengkel yang dihadiri oleh guru prasekolah ini dikendalikan oleh Encik Jafari bin Hussain, Penyelia (Pengurusan Data), Unit Pengurusan Awal Kanak-kanak dan Prasekolah.







Ahad, 24 Julai 2011

Ahad, 15 Mei 2011

Pemantauan MS ISO 9001:2008

Pemantauan ISO akan diadakan di semua JPN dan PPD di seluruh Malaysia. Ia bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan secara menyeluruh. Bagi PPD Maran, Pemanatauan MS ISO 9001:2008 akan diadakan pada 18 dan 19 Mei 2011. Kita mengaharapkan semua pegawai dapat bersedia.

Hari Guru datang lagi

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

     Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

LOGO HARI GURU

Putih : Menunjukkan kesucian, kesabaran, kesempurnaan dan keamanan.
Perak : Menunjukkan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan teguh.
Kuning: Sinaran cahaya yang cemerlang pada masa hadapan.
Bulan dan bintang membawa erti yang terkandung dalam bendera Malaysia.
Merah : Menunjukkan keteguhan semangat.
Biru : Menunjukkan perpaduan muhibah.

Objektif Hari Guru
  • Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.

  • Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
  • Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.
  • Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
  • Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.
  • Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

Isnin, 18 April 2011

Sekolah New Deals Daerah Maran

Tahniah kepada sekolah-sekolah daerah Maran yang telah mendapat Bai'ah/'New Deals' daripada kementerian Pelajaran Malaysia. Antara sekolah yang telah berjaya ialah;
  1. SK Sentosa
  2. SK Chedong Jaya
  3. SK Bukit Tajau
  4. SJKC Pei Min
  5. SK Kuala Wau
  6. SK Tanjung Perang
  7. SK Jengka Pusat 2
  8. SK Desa Jaya
Tahniah kepada Guru Besar, guru-guru dan kakitangan. Semoga penganugerahan ini memberi motivasi dan impak yang besar kepada pendidikan di daerah kita.

Isnin, 4 April 2011

Struktur Baru Organisasi PPD Maran

NKRA : Pendidikan

Seperti yang semua maklum, ilmu pengetahuan menjadi kandil penyuluh yang menerangi kegelitaan hidup di dunia. Malah ilmu menjadi prasyarat kepada pembikinan mana-mana tamadun yang pernah terbina dan yang menentukan kelancangannya. Justeru, kerajaan akan terus mengiktiraf dan memberikan ruang kepada yang terbaik dan terbilang tanpa mengira latar keturunan mahupun taraf sosioekonomi.

• Oleh itu, dalam bidang pendidikan, PM mahu memastikan anak-anak bangsa mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Mahu tidak mahu, generasi muda Malaysia perlu berilmu, mesti berfikiran kreatif, berinovatif, bercirikan nilai murni serta mampu bersaing di persada internasional yang penuh cabaran ini dari kemudahan yang diberikan.

• Kerajaan akan memberikan keutamaan untuk menyediakan pendidikan yang terbaik bermula daripada peringkat asas iaitu peringkat prasekolah. Untuk itu, pendidikan prasekolah akan dijadikan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana.

• Adalah amat merugikan kerana terdapat kanak-kanak yang pergi ke sekolah tetapi masih tidak menguasai kemahiran membaca atau menulis apabila meninggalkan bangku pengajian. Maka, bagi menangani kemelut ini, PM telah menetapkan supaya semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira ketika melangkah ke Tahun 4 sekolah rendah sebelum penghujung 2012. Kerajaan menyedari hanya 60% sahaja anak-anak Malaysia yang dapat akses pendidikan pra sekolah, jadi KPI menjelang 2012 berharap pencapaian ini dapat dinaikkan sekurang-kurangnya kepada 80%.

• Bersesuaian dengan konsep pencapaian diutamakan pula, kepimpinan sekolah di peringkat rendah dan menengah perlu menyedari mereka adalah peneraju tapak semaian modal insan nasional. Berkaitan itu, kerajaan dengan ini ingin menawarkan new deal atau satu Bai’ah baru kepada semua pengetua dan guru besar sekolah dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.

• Selain itu , sebagai projek perintis, sebanyak 100 buah sekolah, terdiri daripada jenis harian biasa, sekolah bestari, kluster, trust school atau sekolah berpiagam dan sekolah berasrama penuh, akan dikenal pasti untuk diangkat menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi. Dengan ini, kerajaan akan menyediakan persekitaran pelajaran dan pembelajaran yang kondusif serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memacu lagi pencapaian pelajar. Semua rencana ini akan dilaksanakan dalam tempoh 3 tahun sebelum penamat 2012.

Rabu, 16 Februari 2011

Isnin, 14 Februari 2011

Video Klip 'Terima Kasih Cikgu' Sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Daerah Maran 2010

Sambutan Hari Anugerah Pendidikan Daerah Maran telah diadakan di Dewan Jubli Perak Bandar Maran pada 12 Februari 2011, jam 9.00 pagi. Ianya bagi meraikan kecemerlangan warga pendidikan Daerah Maran yang berjaya mengekalkan prestasi UPSR bagi tahun keempat berturut-turut. Tahniah dan terima kasih Cikgu..
 
Klip video ini dihasilkan oleh PKG Daerah Maran. Terima kasih dan tahniah.

Jumaat, 21 Januari 2011

Program Gotong-royong Pencegahan Denggi Peringkat Sekolah dan Komuniti

Wabak Denggi menjadi ancaman kita. Daerah Maran telah dikesan 15 kes Denggi dan menjadi ancaman kepada semua penduduk. Sekolah perlu memainkan peranan dalam membasmi wabak ini. Mesyuarat Tindakan Denggi Peringkat Daerah Maran telah diadakan pada 19 Januari 2011 yang lalu dan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Maran, YH Dato' Fadzilah bin Hj Salleh.
       Semua premis penduduk, kerajaan, swasta dan termasuk sekolah, disaran mengadakan gorong-royong pencegahan Denggi di sekitar kawasan masing-masing. Cadangan gotong royong adalah pada 22 Januari 2011 mulai jam 8.00 pagi. Keutamaan bagi sekolah-sekolah sekitar Bandar Jengka.
       Antara lokasi yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut :
  1. Tangki air
  2. Pam-pam tandas (yang jarang digunakan)
  3. Bekas-bekas kosong/takunagan/pengalas pasu bunga/tayar-tayar lama dan sebagainya.
         Memandangkan sekolah mengambil persekolahan berganti pada 22 Januari 2011, adalah disaran menjalankan gotong-royong di sekolah masing-masing selama 30 minit sahaja (8.00-8.30 pagi). Sila rujuk surat arahan PPD Maran melalui email sekolah masing-masing. Kerjasama serta keprihatinan sekolah amat diharapkan dan dihargai.

Standard Guru Malaysia

Standard Guru Malaysia (SGM) menggariskan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru dan keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu guru mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan. Standard Guru Malaysia akan dapat mengenalpasti dasar dan strategi pembangunan pendidikan guru yang patut ditambah baik sejajar dengan perkembangan dan cabaran semasa dunia pendidikan.
      Sila dapatkan bahan SGM melalui halaman muat turun   dan sila ke laman web http://www.moe.gov.my/sgm untuk maklumat lanjut.

"Instrumen SGM secara Online pada masa kini tidak boleh diakses kerana masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. Pihak Bahagian Pendidikan Guru, mohon maaf diatas kesukaran yang dialami.
       Para pengguna digalakkan menggunakan instrumen SGM secara offline yang boleh dimuat turun daripada Link (Instrumen (SGM)). Instrumen secara ofline dibangunkan menggunakan aplikasi excel. Oleh yang demikian komputer yang digunakan seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya perisian Microsoft Excel untuk melaksanakan instrumen secara offline.
       Instrumen yang telah dilengkapkan boleh diemail terus kepada penyelaras teknikal SGM di alamat email berikut :
1. sgm8.offline@gmail.com atau
2. sgm9.offline@gmail.com atau
3. sgm10.offline@gmail.com

       Pengguna diminta memasukkan : Nama & No KP diruangan Nama dan masukkan Kod Sekolah dan alamat di diruangan Alamat. Simpan Fail tersebut dan rename fail yang hendak dihantar dengan nombor kad pengenalan guru.
       Bagi penyelaras ICT disekolah-sekolah juga boleh mengumpulkan instrumen (Burn Kedalam CD) yang telah dijawab oleh guru-guru dan poskan ke alamat berikut:

PENGARAH
BAHAGIAN PENDIDIKAN GURU
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
Aras 2- 6, Blok E 13, Kompleks Kerajaan Parcel E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62604 Putrajaya
u.p : Unit Data Dan Pengurusan Maklumat

Harap maklum dan ribuan terima kasih atas kerjasama anda."

CD Standard Guru Malaysia ada dibekalkan ke sekolah-sekolah.

Selasa, 18 Januari 2011

RMT : Pelaksanaan Penggunaan Data Sedia Ada (DSA) Di Dalam Pemberian Bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) Tahun 2011 (Maklumat Terkini)

Dengan segala hormatnya merujuk perkara di atas dan surat siaran dari KPM : KP(BKEW/BT)1910/RMT/A5 Jld.6(14 Disember 2010) adalah berkaitan.
    Sebagaimana yang telah dimaklumkan dalam surat siaran tersebut, dinyatakan penerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) adalah murid yang ibu bapanya berdaftar dengan e-Kasih dan disahkan Miskin atau Miskin Tegar. Walaubagaimanapun, penggunaan data e-kasih sepenuhnya dalam pemberian RMT telah menyebabkan sebahagian besar murid sebelum ini menerima bantuan melalui penggunaan Data Sistem Maklumat Murid (SMM)/Data Sedia Ada tidak tersenarai dalam e-kasih dan tidak lagi menerima bantuan.
     Sehubungan dengan itu, pada 13 Januari 2011, Kerajaan telah bersetuju supaya penerima bantuan RMT diberikan juga kepada murid dalam senarai Dasar Sedia Ada iaitu, Data Sistem Maklumat Murid (SMM). Oleh itu, pihak sekolah dikehendaki melaksanakan keputusan berkenaan mengikut kelulusan yang telah diluluskan oleh JPN (JPNP.02/08/08/1001/Jld.19/(16) bertarikh 1 Disember 2010 berkuatkuasa mulai 17 Januari 2011.
     Untuk Daerah Maran, semua sekolah rendah di daerah Maran akan melaksanakan Bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) mulai 24 Januari 2011 dan seterusnya mengikut Dasar Sedia Ada (SDA) iaitu hanya murid yang layak berdasarkan Data SMM yang telah diluluskan oleh JPNP (pendapatan RM400 dan perkapita RM80) sahaja. (Sila rujuk email yang telah dihantar kesekolah masing-masing)

*** Perlu diingat, dalam borang RMT (KP/RMT/C) ada peringatan tentang Peryataan butiran palsu dengan niat memperdaya atau mengelirukan Kementerian Pelajaran Malaysia bagi meluluskan Skim Bantuan ini adalah melakukan satu kesalahan rasuah di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah atau nilai butir  matan yang palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000.00, mengikut mana-mana yang lebih tinggi. (Ketua Pesuruhjaya, SPRM)

Dapatkan Buletin PPDa Bil 1/2011 (JANUARI)

Dapatkan Buletin terbaru Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) melalui muat turun (Folder PPDa - Buletin). Maklumat dan aktiviti PPDa boleh dapatkan melelui Buletin tersebut. Harap maklum.

Welcome

Makluman

Terima Kasih kerana bersama kami