Jumaat, 21 Januari 2011

Standard Guru Malaysia

Standard Guru Malaysia (SGM) menggariskan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru dan keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu guru mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan. Standard Guru Malaysia akan dapat mengenalpasti dasar dan strategi pembangunan pendidikan guru yang patut ditambah baik sejajar dengan perkembangan dan cabaran semasa dunia pendidikan.
      Sila dapatkan bahan SGM melalui halaman muat turun   dan sila ke laman web http://www.moe.gov.my/sgm untuk maklumat lanjut.

"Instrumen SGM secara Online pada masa kini tidak boleh diakses kerana masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. Pihak Bahagian Pendidikan Guru, mohon maaf diatas kesukaran yang dialami.
       Para pengguna digalakkan menggunakan instrumen SGM secara offline yang boleh dimuat turun daripada Link (Instrumen (SGM)). Instrumen secara ofline dibangunkan menggunakan aplikasi excel. Oleh yang demikian komputer yang digunakan seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya perisian Microsoft Excel untuk melaksanakan instrumen secara offline.
       Instrumen yang telah dilengkapkan boleh diemail terus kepada penyelaras teknikal SGM di alamat email berikut :
1. sgm8.offline@gmail.com atau
2. sgm9.offline@gmail.com atau
3. sgm10.offline@gmail.com

       Pengguna diminta memasukkan : Nama & No KP diruangan Nama dan masukkan Kod Sekolah dan alamat di diruangan Alamat. Simpan Fail tersebut dan rename fail yang hendak dihantar dengan nombor kad pengenalan guru.
       Bagi penyelaras ICT disekolah-sekolah juga boleh mengumpulkan instrumen (Burn Kedalam CD) yang telah dijawab oleh guru-guru dan poskan ke alamat berikut:

PENGARAH
BAHAGIAN PENDIDIKAN GURU
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
Aras 2- 6, Blok E 13, Kompleks Kerajaan Parcel E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62604 Putrajaya
u.p : Unit Data Dan Pengurusan Maklumat

Harap maklum dan ribuan terima kasih atas kerjasama anda."

CD Standard Guru Malaysia ada dibekalkan ke sekolah-sekolah.

Selasa, 18 Januari 2011

RMT : Pelaksanaan Penggunaan Data Sedia Ada (DSA) Di Dalam Pemberian Bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) Tahun 2011 (Maklumat Terkini)

Dengan segala hormatnya merujuk perkara di atas dan surat siaran dari KPM : KP(BKEW/BT)1910/RMT/A5 Jld.6(14 Disember 2010) adalah berkaitan.
    Sebagaimana yang telah dimaklumkan dalam surat siaran tersebut, dinyatakan penerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) adalah murid yang ibu bapanya berdaftar dengan e-Kasih dan disahkan Miskin atau Miskin Tegar. Walaubagaimanapun, penggunaan data e-kasih sepenuhnya dalam pemberian RMT telah menyebabkan sebahagian besar murid sebelum ini menerima bantuan melalui penggunaan Data Sistem Maklumat Murid (SMM)/Data Sedia Ada tidak tersenarai dalam e-kasih dan tidak lagi menerima bantuan.
     Sehubungan dengan itu, pada 13 Januari 2011, Kerajaan telah bersetuju supaya penerima bantuan RMT diberikan juga kepada murid dalam senarai Dasar Sedia Ada iaitu, Data Sistem Maklumat Murid (SMM). Oleh itu, pihak sekolah dikehendaki melaksanakan keputusan berkenaan mengikut kelulusan yang telah diluluskan oleh JPN (JPNP.02/08/08/1001/Jld.19/(16) bertarikh 1 Disember 2010 berkuatkuasa mulai 17 Januari 2011.
     Untuk Daerah Maran, semua sekolah rendah di daerah Maran akan melaksanakan Bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) mulai 24 Januari 2011 dan seterusnya mengikut Dasar Sedia Ada (SDA) iaitu hanya murid yang layak berdasarkan Data SMM yang telah diluluskan oleh JPNP (pendapatan RM400 dan perkapita RM80) sahaja. (Sila rujuk email yang telah dihantar kesekolah masing-masing)

*** Perlu diingat, dalam borang RMT (KP/RMT/C) ada peringatan tentang Peryataan butiran palsu dengan niat memperdaya atau mengelirukan Kementerian Pelajaran Malaysia bagi meluluskan Skim Bantuan ini adalah melakukan satu kesalahan rasuah di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah atau nilai butir  matan yang palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000.00, mengikut mana-mana yang lebih tinggi. (Ketua Pesuruhjaya, SPRM)

Dapatkan Buletin PPDa Bil 1/2011 (JANUARI)

Dapatkan Buletin terbaru Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) melalui muat turun (Folder PPDa - Buletin). Maklumat dan aktiviti PPDa boleh dapatkan melelui Buletin tersebut. Harap maklum.

Jumaat, 7 Januari 2011

Selamat Bersara Cikgu Mohamad Anua bin Musop


Warga pendidikan Maran mengucapkan selamat bersara dan terima kasih atas sumbangan cemerlang cikgu dalam memartabatkan kecemerlangan pendidikan Maran



Bersalaman dengan pelajar-pelajarnya.

Amanat GB

Selamat Hari Lahir ke 58 tahun

Selamat Tinggal

Serah Tugas di hadapan GPK 1 SK Seri Keramat sambil disaksikan oleh En Nordin, wakil PPD Maran

Bersama rakan Guru Besar Daerah Maran

Kini bersama rakan bekas GB yang sama-sama telah bersara. Dengar khabarnya akan aktif dalam Kelab Guru Bersara (YB) yang akan diwujudkan.

Khamis, 6 Januari 2011

Selasa, 4 Januari 2011

YH Dato' Haji Mazlan bin Mohamad, DIMP. Pengarah Pelajaran Pahang yang baru


Tahniah kepda YH Dato' Haji Mazlan bin Mohamad, Pengarah Pelajaran Pahang yang baru

Selasa, 28 Disember 2010

Kepimpinan baik Tingkatkan Prestasi Kerja

KUANTAN 27 Dis. - Persaraan Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff dianggap sebagai kehilangan besar bagi warga pendidik negeri ini. Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Yahya Zainal Abidin berkata, kewibawaan Abdul Aziz sebagai tokoh pendidik amat terserlah apabila mencatatkan banyak kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum sekali gus meletakkan Pahang setanding dengan negeri lain.
       Menurutnya, Abdul Aziz sangat dikasihi dan disanjungi warga pendidik malah menyifatkan jasa-jasa beliau dalam memajukan pendidikan di Pahang tiada tandingannya. ''Abdul Aziz wajar dijadikan contoh sebagai ketua jabatan yang sangat mengambil berat terhadap hala tuju pendidikan negeri supaya pencapaiannya selari dengan arus perdana.
       ''Amanah dan tanggungjawab besar yang dipikul oleh warga pendidik perlu diteruskan dengan menjadikan idea dan cetusan minda beliau sebagai aspirasi," katanya ketika berucap pada majlis 'Iringan Kasih Gamitan Rindu' bagi meraikan persaraan Abdul Aziz di pekarangan JPNP di Indera Mahkota di sini yang dihadiri kira-kira 500 pendidik dari seluruh negeri.
       Pegawai Perhubungan JPNP, Rosdi Ismail berkata, Abdul Aziz berjaya memantapkan organisasi pejabat pelajaran daerah (PPD) ke arah pengurusan yang lebih dinamik. Katanya, beliau telah memastikan sistem penyampaian yang lebih efisien supaya dasar-dasar pendidikan sedia ada dan baru dapat disampaikan secara berkesan. ''Kepimpinan yang baik telah mendorong pegawai meningkatkan prestasi kerja, kreatif dan berinovasi bagi membantu negara mencapai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)," katanya.
       Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Maran, Zainal Abidin Daud menyifatkan Abdul Aziz seorang pemimpin dan pendidik yang sangat berkualiti kerana berjaya menerajui pendidikan negeri dengan cemerlang. Katanya, pendidik di Maran berikrar akan berusaha melaksanakan amanat beliau untuk mengangkat martabat pendidikan dalam bidang akademik, kokurikulum dan bina insan.
       Bagi seorang guru, Noorshamsuddin Raja A. Latiff dari Jerantut, persaraan Abdul Aziz satu kehilangan besar dalam pendidikan negeri ini. Seorang lagi guru, Kamaluddin Ibrahim dari Lipis berkata, jasa dan pengorbanan Abdul Aziz akan sentiasa dikenang oleh generasi baru pendidik di Pahang. Katanya, rekod perkhidmatan cemerlang dalam bidang pendidikan di Pahang tidak akan padam malah akan dijadikan teladan supaya terus gemilang.

Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff, Pengarah Pelajaran Pahang bersara.


KUANTAN 27 Dis. – Golongan pendidik diibaratkan sebagai ‘lilin’ yang sentiasa berusaha menerangi pihak lain meskipun dirinya sendiri terbakar. Begitulah besarnya pengorbanan seorang pendidik dalam memastikan anak bangsanya terus maju dan bertamadun. Menyedari hakikat itu, satu majlis bagi meraikan bekas Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff yang banyak menaburkan jasa bagi memartabatkan mutu pendidikan di negeri ini.
       Majlis ‘Iringan Kasih Gamitan Rindu’ sempena persaraan Abdul Aziz diadakan dengan penuh variasi bagi mengenang jasa tokoh pendidik terbabit. Majlis itu ternyata meninggalkan nostalgia buat Abdul Aziz dan isterinya, Datin Noriah Abdul Majid sebagai tanda kasih ‘anak buahnya‘ yang tidak pernah padam.
       Abdul Aziz, 58, menamatkan kerjayanya dalam perkhidmatan awam setelah bergelumang dalam bidang pendidikan selama 34 tahun. Anak kelahiran Raub yang lahir pada 9 Disember 1952 itu telah melalui pelbagai pengalaman pahit manis sebagai pendidik dengan kemuncak kerjayanya mengetuai Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP) selama tiga tahun lapan bulan sebelum bersara wajib pada 8 Disember lalu.
Abdul Aziz yang berkelulusan Sarjana Pendidikan (Geografi) dari Universiti Malaya dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diberi tanggungjawab besar menerajui JPNP pada 1 April 2007. Sepanjang kariernya, beliau telah meletakkan pendidikan di Pahang di tahap paling cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.
       Kerjaya dan sejarah perkhidmatan beliau bermula sebagai guru akademik di Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah di sini sebelum menjawat pelbagai jawatan seperti Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tersang, Raub; SMK Maran dan Sekolah Menengah Teknik Tengku Ampuan Afzan, Bentong. Abdul Aziz kemudian dilantik sebagai Pegawai Pelajaran Raub, Ketua Sektor Pengurusan Perkhidmatan Pelajaran dan Pengarah Bahagian Pengurusan Pendidikan Pengurusan Teknik dan Vokasional.
       Pada majlis yang penuh nostalgik itu, beliau menerima pelbagai cenderamata daripada Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang, Yahya Zainal Abidin, Ketua-ketua Sektor, Ketua Unit JPNP, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri dan Kesatuan Kebangsaan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB). Lebih menarik lagi, majlis itu diadakan serentak dengan ulang tahun kelahiran beliau ke-58.
       Pada majlis itu, satu tayangan multimedia diadakan di lobi JPNP yang menceritakan pengalaman Abdul Aziz sepanjang 34 tahun berkhidmat sebagai pendidik. Seterusnya, beliau menandatangani surat penyerahan tugas kepada Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Zainuren Mohd. Nor yang disaksikan Yahya dan para pegawai Kanan JPNP. Abdul Aziz yang diiringi Yahya kemudian mengetip ‘punch card’ terakhir kira-kira pukul 5.10 petang sebagai tanda tamatnya perkhidmatan beliau sebagai pegawai perkhidmatan awam selama 34 tahun. Beliau yang diiringi keluar dari pekarangan JPNP dengan menaiki kereta kuda bersama isterinya sambil ditarik oleh guru-guru dan para pegawai JPNP.
       Berucap pada majlis persaraannya di hadapan 500 tetamu di pekarangan JPNP di Indera Mahkora di sini, beliau mengingatkan warga pendidik supaya sentiasa menjaga profesionalisme masing-masing dan kredibiliti jabatan daripada diperlekehkan oleh mana-mana pihak. Tegasnya, institusi pendidikan terdedah kepada kritikan kerana ia dianggap paling hampir kepada kehidupan masyarakat yang sering menyuarakan pelbagai pendapat dan aduan membabitkan guru-guru yang mendidik anak-anak mereka.
       ‘‘Oleh itu, warga pendidik tidak harus melatah jika menerima aduan atau kritikan daripada ibu bapa sehingga menimbulkan situasi salah menyalahkan sesama sendiri. ‘‘Utamakan organisasi kerana melalui semangat kekitaan dan profesionalisme yang kukuh dalam kerjaya akan memudahkan usaha untuk mencapai kemajuan dan kejayaan dalam dunia pendidikan yang semakin kompetitif,‘‘ katanya.
       Menurutnya, sebarang ‘pembetulan‘ yang berkaitan penambahbaikan organisasi mesti dibuat secara dalaman tanpa mendedahkan sebarang kelemahan ketara kepada pihak luar yang mungkin gemar mengkritik berbanding teguran membina. Beliau mengakui sangat gembira bertugas di JPNP kerana mendapat sokongan padu Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang sangat peka terhadap pendidikan rakyat negeri ini. Pada masa sama jelasnya, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob sangat komited untuk meletakkan anak-anak negeri Pahang maju dalam pendidikan.
       Abdul Aziz turut mengingatkan pendidik supaya sentiasa komited untuk memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dapat dicapai kerana ia menjadi kayu pengukur kejayaan organisasi yang dapat dinilai rakyat.  Di samping itu, tegasnya, pendidik harus mengambil tahu mengenai enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan satu daripadanya ialah meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti. Menurutnya, NKRA dijadikan teras dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan tujuan memperkasakan sistem pencapaian kepada rakyat dan berimpak bagi mencapai Wawasan 2020.
       ‘‘Para guru perlu berusaha menggembleng tenaga untuk mewujudkan perkhidmatan pendidikan yang adil, cekap dan cemerlang dalam memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya.

Welcome

Makluman

Terima Kasih kerana bersama kami