Selasa, 28 Disember 2010

Kepimpinan baik Tingkatkan Prestasi Kerja

KUANTAN 27 Dis. - Persaraan Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff dianggap sebagai kehilangan besar bagi warga pendidik negeri ini. Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Yahya Zainal Abidin berkata, kewibawaan Abdul Aziz sebagai tokoh pendidik amat terserlah apabila mencatatkan banyak kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum sekali gus meletakkan Pahang setanding dengan negeri lain.
       Menurutnya, Abdul Aziz sangat dikasihi dan disanjungi warga pendidik malah menyifatkan jasa-jasa beliau dalam memajukan pendidikan di Pahang tiada tandingannya. ''Abdul Aziz wajar dijadikan contoh sebagai ketua jabatan yang sangat mengambil berat terhadap hala tuju pendidikan negeri supaya pencapaiannya selari dengan arus perdana.
       ''Amanah dan tanggungjawab besar yang dipikul oleh warga pendidik perlu diteruskan dengan menjadikan idea dan cetusan minda beliau sebagai aspirasi," katanya ketika berucap pada majlis 'Iringan Kasih Gamitan Rindu' bagi meraikan persaraan Abdul Aziz di pekarangan JPNP di Indera Mahkota di sini yang dihadiri kira-kira 500 pendidik dari seluruh negeri.
       Pegawai Perhubungan JPNP, Rosdi Ismail berkata, Abdul Aziz berjaya memantapkan organisasi pejabat pelajaran daerah (PPD) ke arah pengurusan yang lebih dinamik. Katanya, beliau telah memastikan sistem penyampaian yang lebih efisien supaya dasar-dasar pendidikan sedia ada dan baru dapat disampaikan secara berkesan. ''Kepimpinan yang baik telah mendorong pegawai meningkatkan prestasi kerja, kreatif dan berinovasi bagi membantu negara mencapai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)," katanya.
       Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Maran, Zainal Abidin Daud menyifatkan Abdul Aziz seorang pemimpin dan pendidik yang sangat berkualiti kerana berjaya menerajui pendidikan negeri dengan cemerlang. Katanya, pendidik di Maran berikrar akan berusaha melaksanakan amanat beliau untuk mengangkat martabat pendidikan dalam bidang akademik, kokurikulum dan bina insan.
       Bagi seorang guru, Noorshamsuddin Raja A. Latiff dari Jerantut, persaraan Abdul Aziz satu kehilangan besar dalam pendidikan negeri ini. Seorang lagi guru, Kamaluddin Ibrahim dari Lipis berkata, jasa dan pengorbanan Abdul Aziz akan sentiasa dikenang oleh generasi baru pendidik di Pahang. Katanya, rekod perkhidmatan cemerlang dalam bidang pendidikan di Pahang tidak akan padam malah akan dijadikan teladan supaya terus gemilang.

Welcome

Makluman

Terima Kasih kerana bersama kami